COVID-19 Tak Jejas Jualan Rumah Di Malaysia

Posted on: 2021-06-10

Jualan hartanah kediaman di Malaysia meningkat pantas dalam segmen tertentu meskipun berdepan persekitaran mencabar dicetuskan penularan COVID-19.

Syarikat teknologi hartanah Asia, Juwai IQI, antaranya mencatatkan peningkatan jualan hartanah kediaman masing-masing sebanyak 293 peratus setakat ini bagi 2021 dan 247 peratus berbanding 2019.

Pada minggu 10 Mei 2021, syarikat itu memuktamadkan AS$88 juta (RM364 juta) jualan projek kediaman baharu di seluruh Malaysia, kira-kira 75 peratus lebih tinggi berbanding kira-kira AS$50 juta (RM207 juta) yang dicatatkan bagi minggu biasa.

Pengasas Bersama dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Juwai IQI, Kashif Ansari, berkata pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tidak menjejaskan jualan Juwai IQI di Malaysia seperti yang dijangkakan.

Sebaliknya, beliau berkata, jualannya meningkat dalam tempoh PKP kerana menerusi platform teknologi membolehkan pihaknya melayani pembeli.

Justeru, katanya, Juwai IQI terus melabur dalam teknologi dengan menubuhkan pasukan data dan teknologi global seramai 1,000 orang di Kuala Lumpur.

"Secara paradoks, berikutan COVID-19, ramai orang percaya bahawa ini adalah masa yang tepat untuk membeli rumah. Rakyat Malaysia kurang berbelanja berikutan sekatan berkaitan wabak.

"Akibatnya, mereka mengumpulkan lebih banyak simpanan dan mahu menggunakan wang itu untuk kegunaan yang baik dengan membeli pegangan dalam pasaran hartanah," katanya dalam satu kenyataan.

Kashif berkata, COVID-19 membuatkan ramai orang menyedari bahawa kejadian yang tidak dijangka boleh berlaku pada bila-bila masa, justeru, pembeli hartanah melihat memiliki hartanah sebagai kaedah berisiko rendah untuk membina penampan kewangan.

Beliau berkata, tinjauan pengguna yang dijalankan pihaknya baru-baru ini mendapati bahawa 70 peratus rakyat Malaysia berdepan sama ada hilang pekerjaan atau terpaksa menutup perniagaan ketika pandemik.

Katanya, kebanyakan rakyat Malaysia masih memperoleh pendapatan tetapi tidak membelanjakan seperti sebelum pandemik dan ramai menggunakan wang untuk pembayaran pendahuluan hartanah.

"Ramai melihat sebagai ledakan hartanah akan datang menjadi penyebab lain orang membeli hartanah hari ini. Pemerhati menjangkakan pertumbuhan ekonomi, pekerjaan dan pendapatan harus meningkat lebih pantas dalam peningkatan semula pasca pandemik berbanding kadar sebelum COVID-19.

"Keadaan itu cenderung bertepatan dengan permintaan dan harga hartanah yang meningkat.

"Permintaan dipacu oleh kadar faedah yang rendah, pengenalan semula Kempen Pemilikan Rumah (HOC) dan pelbagai inisiatif lain yang berkaitan dengan hartanah yang diperkenalkan dalam Belanjawan 2021, termasuk Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA)," katanya.

Kashif berkata, pihaknya menjangkakan pasaran yang kukuh pasca pandemik, dengan hartanah yang mempunyai kedudukan dan reka bentuk terbaik akan dijual lebih cepat serta pada harga yang lebih tinggi.

Namun begitu, beliau berkata, rumah yang kurang menarik akan mendapat manfaat daripada peningkatan permintaan.

"Pembeli hari ini jauh lebih peka terhadap gaya hidup dan kemudahan berbanding masa lalu. Mereka menyedari bahawa mereka mungkin harus menghabiskan banyak masa mereka di rumah, jadi rumah mereka perlu lebih baik," katanya.



Share:

Source From: Berita Harian

Other News & Articles


81% of Residential Property Buys In Klang Valley Went To Investors

Investors make up a majority of residential property purchases in the Klang Valley in 2020 at 81.1%, and they are increasingly turning their attention towards sub-sale properties....

Posted on: 2021-06-10

How To Benefit From The Home Ownership Campaign

The Home Ownership Campaign (HOC) was first introduced by the Malaysian Government on January 1, 2019, and ran until...

Posted on: 2021-05-19

Harga Jualan Rumah Lebih Rendah Awal 2021

Rancangan kerajaan untuk melanjutkan Kempen Pemilikan Rumah (HOC) hingga ke akhir 2021 disambut baik pasaran...

Posted on: 2021-05-19