LelongTips.com.my
RM
RM
sq.ft
sq.ft

Kos pematuhan antara punca harga rumah mahal



KUALA LUMPUR: REHDA Institute mengulangi gesaannya kepada semua pihak berkepentingan untuk membincangkan lebih lanjut mengenai perkara yang menyebabkan lonjakan harga dalam sektor hartanah, yang sebahagiannya disumbangkan oleh kos pematuhan yang tinggi yang dikenakan oleh pihak berkuasa.

Kos pematuhan termasuklah masa dan perbelanjaan yang ditanggung oleh pemaju untuk mematuhi dasar kerajaan, perundangan dan peraturan.

Pengerusinya, Datuk Jeffrey Ng Tiong Lip, berkata kos pematuhan telah menyebabkan pemaju dan syarikat permulaan menanggung antara 15 hingga 25 peratus daripada jumlah kos menjalankan perniagaan.

"Sebarang kecekapan atau kos yang boleh dikurangkan atau diperbaiki, akan meletakkan kos pematuhan pada skala yang lebih rendah. Oleh itu, kos menjalankan perniagaan akan mampan.

"Bagaimanapun, dengan persekitaran inflasi yang tinggi, mana-mana pihak berkepentingan yang menggesa kami (pemaju hartanah) untuk mengurangkan harga kami, ia adalah bertentangan," katanya pada sidang media selepas perbincangan meja bulat tertutup mengenai Kos Menjalankan Perniagaan berkaitan dengan laporan Housing Forward hari ini.

Mengenai marjin keuntungan pemaju, Ng menegaskan, tidak seperti beberapa dekad yang lalu apabila marjin keuntungan adalah besar dan pemaju pada hari ini terperangkap dengan banyak kos pematuhan 'tersembunyi' dan realitinya, hanya memperoleh kira-kira 15 peratus atau sekitarnya.

Beliau berkata, akan tiba masanya apabila pemaju tidak dapat lagi menanggung kos itu dan akhirnya terpaksa memindahkannya kepada pengguna.

Pada sidang media bersama, Presiden Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (REHDA Malaysia), Datuk NK Tong, berkata kira-kira 100 pihak berkepentingan dalam industri pembangunan hartanah menghadiri perbincangan hari ini yang termasuk pemaju, agensi kerajaan dan persatuan berkaitan.

Ia membincangkan isu-isu utama dan menggalakkan pemahaman yang lebih baik mengenai kos pematuhan membabitkan pembangunan perumahan dan impaknya terhadap kemampanan harga.

Tong berkata, REHDA Malaysia akan menerbitkan laporan penyelidikan terkini mengenai kos menjalankan perniagaan dan akan membuat cadangan kepada pihak berkuasa.

Katanya, laporan terkini itu sebagai tambahan kepada yang pertama, yang kekal penting hari ini.

Posted on: 17th January 2023

Source: Berita Harian