LelongTips.com.my
RM
RM
sq.ft
sq.ft

KPKT komited laksana tujuh tindakan segera dalam 100 hari



PUTRAJAYA: Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) akan melaksanakan tujuh tindakan segera dalam tempoh 100 hari yang bakal memanfaatkan kebajikan rakyat di seluruh negara.

Menterinya, Nga Kor Ming, berkata inisiatif itu meliputi aspek perumahan, kemudahan awam, pengoperasian balai bomba baharu dan pengurangan jumlah sisa pepejal ke tapak pelupusan.

Mengulas lanjut, beliau berkata sebanyak 4,713 unit rumah akan diserahkan kepada rakyat meliputi Program Perumahan Rakyat (PPR) iaitu PPR Kuah dan Ulu Melaka, Langkawi, Kedah, Rumah Mesra Rakyat (RMR) 2022 secara berkelompok serta penyerahan penyelesaian projek sakit yang berjaya disiapkan di Ipoh, Perak dan Kota Tinggi, Johor.

Katanya, Jabatan Perumahan Negara (JPN), Syarikat Perumahan Negara Bhd (SPNB) dan Perbadanan PR1MA Malaysia (PR1MA) adalah jabatan dan agensi di bawah KPKT yang terbabit dalam pelaksanaan inisiatif ini.

"Sementara itu, kerja-kerja menaik taraf 12 unit lif di PPR Kota Damansara, Kuala Lumpur akan dibaik pulih dan diselenggara. Ini bakal dimanfaatkan oleh 4,608 golongan B40 yang menghuni di PPR berkenaan," katanya dalam satu kenyataan.

Dalam tempoh 100 hari juga, beliau menegaskan bahawa KPKT melalui Jabatan Kerajaan Tempatan (JKT) akan menaik taraf Pasar Tok Kenali, Jalan Binjai, Kelantan dan Pasar Pasir Pinji, Ipoh, Perak serta menyediakan 100 kiosk perniagaan.

"Pelaksanaan ini penting bagi meningkatkan kemudahan premis perniagaan. Seramai 353 orang peniaga dijangka menerima manfaat daripada pelaksanaan naik taraf pasar awam dan penyediaan kiosk perniagaan itu," katanya.

Kor Ming berkata, KPKT melalui Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) juga komited dalam usaha penutupan 100 lokasi tapak sampah haram dan pemerkasaan inisiatif kitar semula.

Selain itu, katanya peranan Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal Negara (JPSPN) juga penting bagi memastikan pengoperasian Loji Rawatan Waste to Energy (WtE) di Ladang Tanah Merah, Negeri Sembilan yang pertama di Malaysia di mana dapat mengurangkan 90 peratus penghantaran sisa pepejal ke tapak pelupusan.

"KPKT juga melalui Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) berharap pengoperasian empat Balai Bomba dan Penyelamat baharu yang terletak di Kuala Lumpur, Perak dan Sarawak akan dapat meningkatkan tahap jaminan keselamatan khususnya bagi penduduk setempat," katanya.

Beliau menambah, KPKT terus komited memperkasakan kualiti penyampaian dan perkhidmatan khususnya daripada aspek perumahan, kerajaan tempatan, kemampanan bandar, pengurusan sisa pepejal serta perkhidmatan kebombaan demi kesejahteraan rakyat.

Posted on: 17th January 2023

Source: Berita Harian