
'Townhouse' atau rumah bandar merujuk kepada perumahan unik dengan rekaan bergaya teres dua unit disusun bertingkat dalam satu unit bangunan sama.
Lebih menarik, 'townhouse' di Malaysia merapatkan perbezaan antara hartanah strata dan teres.
Ia bukan rumah teres dan bukan juga rumah bertingkat, tapi 'hibrid' strata-teres yang unik.
Di atas keunikan itu, ia menjadi hartanah yang berstatus hak milik strata.
Sedangkan, di Malaysia perumahan yang berstrata adalah flat, apartmen atau kondominium.
Bagaimanapun, hartanah itu turut tertakluk kepada syarat tertentu berkaitan keseluruhan pembangunan.
Antaranya tanggungjawab wajib membayar kos pemeliharaan bersama dalam bentuk yuran penyelenggaraan dan dana terikat seperti ditetapkan Akta Pengurusan Strata 2013.
Bermakna penghuninya berpeluang menikmati kemudahan bersama termasuk persekitaran perumahan yang lebih terjaga, khidmat keselamatan dan kemudahan lain seperti gimnasium atau taman permainan.
Satu lagi jika anda berdepan masalah, kos baik pulih dikongsi bersama pemilik lain mengikut terma dan syarat ditetapkan.