
Sedangkan realitinya, rumah kategori itu adalah 'hartanah kawalan' yang pembeliannya dikawal ketat oleh kerajaan.
Apa sebenarnya hartanah kawalan? Golongan manakah yang paling layak untuk memilikinya?
Walaupun dijual di pasaran terbuka untuk kediaman 'subsale', misalnya namun tidak semua layak memiliki rumah berkenaan.
Ini kerana, pihak berkuasa negeri, contohnya Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS) dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), memiliki kuasa mutlak untuk menolak proses penukaran nama jika tidak melepasi atau memenuhi syarat yang ditetapkan.
Bagaimana pula proses pembeliannya? Adakah ia rumit atau seperti proses pembelian hartanah biasa?
Menurut Perunding Hartanah Kanan Landsworth Properties Sdn Bhd Nor Fahimah Mohd Mahayuddin, proses pembelian rumah kos rendah (projek baharu) bukanlah rumit seperti yang disangka ramai.
Namun, bakal pembeli perlu mengikut syarat dan proses yang ditetapkan oleh kerajaan negeri berkaitan.
Kata Nor Fahimah, kebiasaannya, kerajaan negeri turut menyediakan laman sesawang khas bagi memudahkan proses pembelian untuk bakal pembeli.
"Contohnya di Selangor, semua projek pembinaan rumah di bawah kerajaan negeri termasuk kos rendah Rumah Selangorku akan diwar-warkan dalam laman sesawang.
"Pembeli juga boleh memohon terus secara dalam talian dan jika terpilih, bakal pembeli akan dimaklumkan kemudian.
"Begitu juga dengan hartanah kawalan rumah kos rendah subsale (sekunder), syarat-syarat sama yang dikenakan perlu dipatuhi oleh bakal pembeli," katanya.
Dalam pada itu, Nor Fahimah berkata, syarat kelayakan untuk pembelian rumah kos rendah yang berharga di bawah RM300,000 kebiasaannya lebih ketat kerana kerajaan mahu membantu golongan sasaran.
Selain itu, tempoh menunggu (mendapat jawapan permohonan) bagi projek perumahan kos rendah baharu juga boleh mencapai sehingga dua tahun, bergantung kepada kawasan dan negeri berkaitan.
Tempoh itu bagaimana lebih cepat untuk pembelian rumah sekunder kerana boleh dilakukan pada bila-bila masa asalkan memenuhi syarat kelayakan yang ditetapkan.
"Bakal pembeli juga perlu memahami syarat kelayakan yang ditetapkan kerajaan sebelum berhasrat membeli hartanah kawalan rumah kos rendah ini.
"Ia khususnya berkaitan jumlah pendapatan isi rumah, pemilikan hartanah lain dan status pemastautin.
"Jadi, pastikan anda betul-betul layak sebelum memohonnya," katanya.
Sementara itu, mengulas mengenai adakah hartanah kawalan itu boleh dijual pada masa hadapan, Nor Fahimah berkata, ia bergantung kepada syarat sekatan yang dikenakan.
Contohnya kata beliau, di Selangor, rumah kos rendah biasanya boleh dijual selepas tempoh lima tahun.
"Bukan sekatan itu sahaja kerana bakal pembeli rumah yang ingin dijual juga perlu mematuhi syarat-syarat yang dikenakan.
"Selain itu, jika pasangan bakal pembeli bukan warganegara pula, namanya juga tidak akan layak dimasukkan dalam perjanjian jual beli dan hanya boleh menggunakan nama suami atau isteri yang berstatus warganegara sahaja.
"Apapun, sila teliti setiap kelayakan yang ditetapkan oleh negeri masing-masing sebelum berhasrat memiliki hartanah kawalan ini," katanya.
Kepada bakal pembeli, sekiranya layak dan berhasrat membeli rumah kos rendah, anda boleh memohon secara terus secara dalam talian.
Manakala, untuk pembelian rumah kos rendah sekunder pula, sebaiknya gunakan perkhidmatan ejen hartanah berdaftar bagi melancarkan dan memudahkan proses pembelian.
Ini kerana, pengalaman dan pengetahuan ejen yang bertauliah dapat membantu urusan jual beli hartanah.
Ia turut terguna pakai untuk semua hartanah lain termasuk rumah lelong atau subsale biasa.