LelongTips.com.my
RM
RM
sq.ft
sq.ft

Strata penentu pemilik berdaftar sah


Ramai pembeli hartanah strata beranggapan apabila Perjanjian Jual Beli (SPA) sudah ditandatangani, pinjaman lulus dan kunci rumah diterima, maka status pemilikan sudah selesai.

Hakikatnya, selagi nama belum dipindah dan didaftarkan pada hak milik strata, pemilik hanya dianggap sebagai 'beneficial owner' iaitu bukan pemilik berdaftar yang sah di sisi undang-undang.

Peguam Hartanah, Herdawaty Abu Othman berkata, pindah milik adalah proses rasmi menukar nama pemilik pada geran strata yang dikeluarkan Pejabat Tanah.

"SPA hanyalah kontrak mengikat penjual dan pembeli. Hak milik strata pula adalah dokumen rasmi membuktikan pemilikan kerana nama pemilik direkodkan secara sah," katanya.

"Malaysia mengamalkan sistem Torrens, yang mengiktiraf pemilik berdaftar sebagai pemilik sah khususnya apabila berlaku pertikaian di mahkamah," katanya.

Bukan kondominium sahaja terbabit.

Herdawaty berkata, ramai menyangka isu ini hanya membabitkan apartmen atau kondominium.

"Hakikatnya, rumah jenis townhouse, kluster dan berkembar dalam projek berpagar dan berpengawal yang berkongsi kemudahan bersama serta didaftarkan di bawah 'Strata Management Act 2013' juga mempunyai geran strata. "Ini bermakna, walaupun rumah atas tanah, jika ia berada di bawah skim strata, pindah milik tetap perlu disempurnakan," katanya.

7 risiko tangguh pindah milik
Katanya, menangguhkan proses ini mungkin nampak remeh, namun implikasinya besar:

- Status kekal sebagai beneficial owner

- Sukar menjual atau membuat pembiayaan semula

- Bank boleh menolak pinjaman jika hak milik belum sempurna, terutama jika projek melebihi 10 tahun atau pemaju bermasalah

- Proses faraid atau probate menjadi rumit jika berlaku kematian

- Risiko jika pemilik muflis

- Risiko jika pemaju digulungkan

- Nilai pasaran hartanah boleh terjejas

Katanya, dalam isu pewarisan atau hibah, sebarang perintah hanya boleh didaftarkan apabila hartanah tiada isu perundangan lain. 

"Jika nama belum didaftarkan, proses menjadi lebih kompleks," katanya.

Tunggakan boleh halang proses
Menurutnya, walaupun nama belum ditukar, pemilik tetap bertanggungjawab membayar cukai taksiran, cukai tanah dan caj penyelenggaraan.

"Tunggakan yuran penyelenggaraan juga boleh menyebabkan proses pindah milik tertangguh.

"Dalam keadaan tertentu, JMB atau MC boleh menahan proses tandatangan Borang 14A jik ada hutang, lebih serius, unit boleh disita sekiranya cukai taksiran tidak dibayar," katanya.

Kos & tempoh: Usah jadikan alasan
Katanya, kos guaman bergantung kepada nilai hartanah dalam SPA dan pembeli berhak memohon diskaun antara 25 hingga 50 peratus bagi penyempurnaan hak milik.

"Tempoh biasa hanya satu hingga tiga bulan. Kepastian pemilikan jauh lebih berharga daripada wang ringgit. Jangan berlengah," katanya.

Posted on: 26th February 2026

Source: Harian Metro