LelongTips.com.my
RM
RM
sq.ft
sq.ft

Memang proses kompleks tetapi tetap satu keperluan


ISU pembaharuan bandar mendapat perhatian di Malaysia susulan cadangan penggubalan Akta Pembaharuan Bandar (Urban Renewal Act (URA)).

Ia sebagai mekanisme baharu untuk menangani kawasan bandar lama yang dikatakan mengalami kemerosotan fizikal dan fungsi.

Walaupun matlamat untuk meningkatkan keselamatan, kualiti hidup dan kecekapan guna tanah bandar adalah wajar, cadangan ini mendapat pelbagai perhatian dalam kalangan masyarakat.

Ini kerana, ia menyentuh isu sensitif seperti hak pemilikan harta, pemindahan penduduk dan keseimbangan kuasa antara Kerajaan Persekutuan, negeri serta pihak berkuasa tempatan (PBT).

Persoalan utama yang timbul ialah sama ada Malaysia benar-benar memerlukan satu undang-undang baharu untuk tujuan pembaharuan bandar atau sama ada masalah sebenar terletak pada kelemahan pelaksanaan undang-undang sedia ada.

Pakar Ekonomi dan Kewangan Harta Tanah Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Prof Madya Dr Muhammad Najib Razali menegaskan bahawa cabaran utama pembaharuan bandar di Malaysia bukanlah ketiadaan rangka perundangan.

Sebaliknya, menurut beliau, ia ada kaitan dengan kegagalan menangani isu pasaran hartanah, ketidakseimbangan insentif ekonomi dan kelemahan pelaksanaan dasar perancangan sedia ada.

"Saya berpandangan bahawa undang-undang baharu yang terlalu menumpukan kepada pemudahan pembangunan semula, berisiko mengganggu kestabilan pemilikan.

"Selain itu, ia juga menjejaskan pasaran hartanah bandar sekiranya tidak disokong oleh perlindungan ekonomi dan sosial yang mencukupi," katanya.

Muhammad Najib berkata, selain itu, timbul juga persoalan mengenai sejauh mana mekanisme perlindungan terhadap pemilik dan penghuni asal akan diberikan sekiranya Akta Pembaharuan Bandar dilaksanakan.

"Perbincangan mengenai perkara ini menekankan bahawa sebarang dasar pembaharuan bandar perlu memastikan pampasan adil dan pilihan penempatan semula yang munasabah.

"Serta jaminan bahawa komuniti asal tidak kehilangan jaringan sosial dan ekonomi yang sudah lama terbina di sesuatu kawasan," katanya.

Muhammad Najib berkata, dalam konteks ini, peranan kerajaan negeri dan PBT juga dilihat amat penting.

"Ini kerana, kedua-dua entiti ini mempunyai kuasa langsung terhadap perancangan guna tanah dan pembangunan bandar.

"Kerjasama yang jelas antara Kerajaan Persekutuan, negeri dan PBT perlu diwujudkan bagi mengelakkan pertindihan kuasa.

"Ini memastikan pelaksanaan dasar pembaharuan bandar berjalan secara telus dan bertanggungjawab," katanya.

Selain itu, kata Muhammad Najib, pembabitan komuniti setempat dalam proses membuat keputusan perlu diberi penekanan agar pembaharuan bandar tidak hanya didorong oleh kepentingan pembangunan ekonomi semata-mata.

Tambahnya, penduduk terbabit seharusnya diberi ruang untuk menyuarakan pandangan, menyertai rundingan serta memahami implikasi projek pembangunan semula yang dicadangkan di kawasan mereka.

Sementara itu, Pensyarah Kanan Pembaharuan Bandar, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) Dr Sabariah Eni turut menekankan bahawa pembaharuan bandar adalah satu proses sosial yang kompleks dan bukan pembangunan fizikal semata-mata.

Jelasnya, pembaharuan perlu memberi keutamaan kepada penyertaan komuniti, keadilan sosial dan kelangsungan kehidupan penduduk asal.

Jika ia gagal, ia berpotensi menukar agenda pembaharuan bandar kepada mekanisme peminggiran dan pemindahan penduduk secara terselindung melalui proses gentrifikasi yang akan memberi kesan jangka panjang kepada proses urbanisasi.

"Pengenalan ini meletakkan perbahasan mengenai cadangan URA dalam kerangka kritikal yang lebih luas dengan menyoal sama ada pendekatan perundangan baharu ini benar-benar diperlukan.

"Atau, ia sekadar mencerminkan keengganan untuk memperkukuh Akta Perancangan Bandar dan Desa 1976 (Akta 172) yang sudah lama menjadi asas sistem perancangan bandar negara," katanya.

Dr Sabariah berkata, tambahan lagi, proses perundangan tanah yang mungkin membabitkan Akta Pengambilan Tanah 1960 secara amnya adalah penting bagi meneliti hak pemilik asal sebelum proses urbanisasi melalui cadangan URA dapat direalisasikan.

"Dengan mengambil kira pandangan akademik dan bukti daripada pengalaman antarabangsa, perbincangan lanjut akan menilai sama ada pembaharuan bandar yang adil, inklusif serta mampan lebih wajar dicapai melalui reformasi menyeluruh undang-undang sedia ada.

"Ia berbanding pengenalan satu akta baharu yang berpotensi membawa implikasi jangka panjang terhadap hak bandar dan keadilan sosial di Malaysia," katanya.






Posted on: 25th March 2026

Source: Harian Metro