
Penyelidik KRI, Muhammad Nazhan Kamaruzuki, berkata perkembangan geopolitik semasa, termasuk konflik di Asia Barat, dijangka memberi tekanan kepada sektor pembinaan tempatan dengan kos bahan binaan berpotensi meningkat antara 30 hingga 40 peratus.
Beliau berkata, walaupun kenaikan kos sering dilihat sebagai cabaran kepada pemaju dan kontraktor, hakikatnya pembeli rumah menanggung risiko paling besar dalam situasi terbabit.
"Realitinya, pembeli rumah menanggung risiko paling besar, khususnya mereka yang membeli rumah masih dalam pembinaan.
Isu ini bukan sekadar risiko pembinaan, tetapi kegagalan sistemik dalam ekosistem perumahan," katanya dalam satu laporan khas diterbitkan KRI baru-baru ini.
Menurut Muhammad Nazhan, impak ketidaktentuan global tidak terhenti kepada rantaian pembinaan semata-mata, sebaliknya turut memberi kesan langsung kepada pembeli dari segi kelewatan projek, peningkatan kos, serta ketidakpastian penyerahan rumah.
Katanya, struktur semasa pasaran perumahan di Malaysia masih meletakkan beban risiko yang tidak seimbang kepada pembeli, terutama di bawah model jualan sedia ada yang membabitkan pembayaran progresif bagi projek yang belum siap.
"Apabila berlaku kejutan kos atau gangguan bekalan, pembeli berada dalam kedudukan yang lemah kerana mereka telah membuat komitmen kewangan tanpa jaminan kukuh terhadap penyiapan projek," katanya.
Sehubungan itu, beliau menegaskan ada keperluan untuk menilai semula kerangka dasar dan peraturan sedia ada bagi memastikan perlindungan lebih menyeluruh kepada pembeli rumah.
Menurutnya, antara langkah yang boleh dipertimbangkan termasuk memperkukuh mekanisme pemantauan projek, meningkatkan akauntabiliti pemaju serta menambah baik struktur kontrak jual beli.
Pada masa sama, beliau turut mencadangkan supaya pendekatan pembiayaan dan pelaksanaan projek perumahan dikaji semula supaya risiko tidak hanya dipindahkan kepada pengguna akhir.
"Pembaharuan sistemik diperlukan bagi memastikan ekosistem perumahan lebih berdaya tahan dalam menghadapi ketidaktentuan global, di samping melindungi kepentingan pembeli," katanya.
Muhammad Nazhan berkata, tanpa penambahbaikan menyeluruh, sebarang kejutan ekonomi atau geopolitik pada masa hadapan berpotensi terus memberi kesan negatif kepada pasaran perumahan domestik.
"Pembeli rumah sentiasa terdedah kepada risiko kerja pembinaan dan beban kewangan apabila membeli projek perumahan yang sedang dalam pembinaan.
"Risiko sistemik ini akan lebih ketara apabila sektor pembinaan dijangka mengalami peningkatan kos bahan binaan dalam suasana ketidakstabilan global yang boleh merencatkan ekonomi negara.
"Walaupun kerajaan berhasrat beralih kepada sistem bina-kemudian-jual yang lebih telus, itu hanya akan berlaku pada 2030 seperti yang dihasratkan dalam Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13)," katanya.
Tegasnya, buat masa sekarang sehingga 2030, mekanisme perlindungan kepada pembeli rumah masih lompong.